LIRINDON MAHU TEBUS KEKECEWAAN TEWAS KEPADA KELANTAN
PEMAIN import Kedah, Liridon Krasniqi bertekad bangkit memburu kemenangan ke atas Kelantan dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam esok.
Beliau jelas kecewa apabila Kedah tumpas 1-3 kepada Kelantan di Kota Bharu pada 18 Julai lalu, meskipun dapat menjaringkan satu gol dalam perlawanan itu.
"Saya mengharapkan kemenangan kali ini dan mahu mengubat kekecewaan tewas pada aksi Piala Malaysia di Kota Bharu.
"Ini kerana walaupun menjaringkan satu gol, namun kami pulang hampa dan kehilangan mata.
"Saya bersama rakan sepasukan turut terkesan dengan kekalahan itu dan kami mahu bangkit memburu kemenangan di Darul Aman esok (malam ini)," katanya ditemui pada sesi latihan hari ini.
Dalam pada itu, Liridon berkata, walaupun pasukan Johor Darul Ta'zim jauh meninggalkan Kedah dengan jarak 11 mata dalam carta, namun kedudukan di tangga kedua masih disaingi hebat oleh Pahang, Selangor dan Perak.
"Kami akan pastikan tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh merugikan pasukan dan teruskan fokus untuk memburu tiga mata.
"Kami perlu tingkatkan kecergasan dan kekal konsisten walaupun menghadapi rintangan jadual padat bulan ini dengan lima pemain muda yang sebelum ini beraksi untuk skuad Malaysia.
"Kesempatan beraksi di laman sendiri akan diguna sebaiknya kerana ini perlawanan liga dan kami sentiasa mahukan kedudukan tertinggi dalam carta," katanya.
Beliau berkata, motivasi kemenangan ke atas Pulau Pinang 2-0 dalam Liga Super di Stadium Negeri Batu Kawan Pulau Pinang Sabtu lalu, diyakini bakal meningkatkan semangat mereka memburu kemenangan.
Sumber : METRO
Post a Comment