Header Ads

'PUAS HATI' Respon Zahasmi Selepas Tewas Kepada Selangor FA


PENGENDALI Kelantan, Zahasmi Ismail menganggap pasukannya tidak bernasib baik selepas tewas 0-1 kepada Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Selayang, kelmarin.

Menurutnya, pemain menguasai perlawanan dengan baik namun tiada tuah apabila deretan peluang yang ada gagal disempurnakan sekali gus memaksa The Red Warriors  (TRW) pulang dengan tangan kosong.

“Inilah bola sepak dan kita perlu terima hakikat. Hanya sedikit kesilapan dari pemain, lawan berjaya jaring gol.

“Pemain pula gagal menyudahkan banyak peluang terhidang walaupun menguasai perlawanan. Jadi, inilah bola sepak dan segalanya kami terpaksa terima,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Mohd Amri Yahyah menjadi wira buat Selangor apabila menjaringkan gol tunggal yang juga gol kemenangan The Red Giants pada minit ke-23.
Mengulas lanjut, kata Zahasmi, biarpun gagal menjaringkan gol, perlawanan kelmarin merupakan aksi terbaik yang pernah diperagakan pemainnya sejak beliau membimbing TRW.

“Saya puas hati dengan corak permainan pemain. Mereka berjaya mengawal bola, bijak mengatur peluang dan bermain dengan momentum yang tinggi.

“Pemain juga memaksa Selangor lebih banyak bertahan. Tetapi seperti apa yang saya katakan tadi, kami tidak bernasib baik untuk jaringkan gol,” katanya.

Malah, kata Zahasmi permainan yang ditampilkan pemainnya kelmarin adalah jauh lebih baik berbanding ketika menumpaskan Kedah dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad ke-IV minggu lalu.

“Bagi saya game ini lebih baik. Tetapi di sana (Kota Bharu) penyerang kita berjaya jaringkan gol tetapi berbeza di sini apabila barisan serangan kita buntu.

“Tetapi saya tidak mahu menuding jari kepada pemain selain kami akan perbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya.

Sumber : SINAR HARIAN

No comments