Zahasmi Berang Dengan Aksi Pertahanan TRW, Puji Kecemerlangan Shahrizan
JURULATIH Kelantan, Zahasmi Ismail berang dengan persembahan buruk barisan pertahanannya sehingga menghadiahkan kemenangan besar 5-0 kepada Kedah, pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam kelmarin.
Zahasmi jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila menyalahkan kecuaian benteng yang diterajui pemain import Gambia, Mamadou Danso yang menjadi punca skuad kendaliannya mencatatkan kekalahan terburuk, dalam saingan musim ini.
“Bagi saya (persembahan) Kelantan malam ini (kelmarin), serba-serbi tak menjadi. Kita terlalu bagi ruang kepada Kedah menguasai setiap sudut dan ini membolehkan lawan bergerak bebas.
“Kesilapan demi kesilapan terutama di benteng pertahanan menyebabkan Kedah memperoleh gol-gol mudah sekali gus membunuh semangat pemain pasukan ini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan.
Pada pertemuan itu, tuan rumah berpesta gol menerusi jaringan Mohamad Arif Farhan Md Isa seawal minit ketujuh, Ken Ilso Larsen (m-47 dan 60), Sandro da Silva Mendonca (m-70 dan 86) sekali gus menenggelamkan aksi Kelantan di Alor Setar.
Malah Zahasmi berterima kasih kepada penjaga gol veteran, Mohd Shahrizan Ismail yang beraksi cemerlang menyelamatkan sekurang-kurangnya enam percubaan berbahaya skuad Lang Merah itu.
“Bukan 5-0, boleh jadi 10-0, kalau tak kerana kecemerlangan dia (Mohd Shahrizan), mungkin pintu gol kita bolos lebih banyak,” katanya.
Pengendali berusia 50 tahun itu, merumuskan kekalahan memalukan tersebut berpunca daripada keletihan anak buahnya namun tidak mahu jadikan ia satu alasan.
“Satu lagi faktor, Kelantan kekurangan pemain tetapi kita kena akui Kedah bermain lebih bagus dan menguasai hampir keseluruhan permainan. Jadi, kita terima hakikat (kekalahan) kerana ini adalah bola sepak,” katanya.
Walaupun terkejut dengan kekalahan itu, namun Zahasmi anggap ia bukan penamat pasukannya keluar dari zon penyingkiran ke Liga Perdana.
“Kalau nak baiki kelemahan, memang kita kesuntukan masa tapi saya harap pemain belajar daripada kekalahan ini dan bangkit kembali bila bertemu UiTM FC, dalam kempen Piala Malaysia, Sabtu ini,” katanya.
Sumber : SINAR HARIAN
Post a Comment