Header Ads

Big Boss Secrectleaf Tawar Diri Jadi Presiden KAFA Tanpa Syarat!


KOTA BHARU: Selepas beberapa kali syarikatnya menjadi penaja pasukan The Red Warriors (TRW), Amir Ramadzan Ibrahim, kini menawar diri bagi merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tanpa mengenakan sebarang syarat.
Amir yang juga Presiden Kumpulan SecretLeaf International Sdn Bhd, berkata beliau mahu membentuk pasukan Kelantan yang baharu dengan menekankan 4P dalam rancangannya, jika berjaya menduduki kerusi penting itu.
Katanya, 4P itu merujuk kepada pengurusan, pemain, penaja dan penonton, yang akan diseimbangkan dari segi pembangunan dan urus tadbir KAFA secara menyeluruh.
"Saya menawarkan Kelantan yang baharu dengan pengurusan lebih teratur tanpa mengenakan sebarang syarat kerana saya bukan orang baharu dengan KAFA, tapi sudah beberapa kali menjadi penaja TRW.
"Saya melihat KAFA perlu bantuan 'orang dalam' jika nak bantu Kelantan sebab itu saya tawar diri," katanya dalam sidang media, di sini, sebentar tadi.
Amir Ramadzan yang juga anak jati Kampung Kutan di sini, berkata dia berasa layak memegang jawatan itu kerana berkemampuan dalam soal kewangan yang sering menjadi kerisauan penyokong TRW.
Katanya, dia sudah membuat perancangan termasuk pengurusan kewangan, malah membuat persediaan termasuk peruntukan RM3 juta yang diperlukan bagi TRW bersaing musim depan.
"Kita nak penyokong kembali berbangga dengan TRW, malah jika dilantik sebagai Presiden KAFA, bukan saja TRW tetapi kita juga akan jaga pemain Piala Presiden dan sebagainya.
"Bagaimanapun sekiranya ada individu yang lebih layak, contohnya seperti Datuk Muhammad Nasir Hamzah (Naib Presiden KAFA), saya sedia jadi orang nombor dua dan tetap teruskan perancangan bantu KAFA," katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor, membuat tawaran terbuka kepada mana-mana individu untuk memimpin KAFA pada Kongres Agung Tahunan kali ke-43 pada September ini.
Sumber : BERITA HARIAN 

No comments