Header Ads

Polis Siasat Isu Bendera Indonesia Terbalik


JOHOR BAHRU: Polis menjalankan siasatan berhubung kesilapan bendera Indonesia dicetak terbalik dalam buku cenderamata upacara pembukaan Sukan SEA ke-29 (KL2017).
Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, berkata kesilapan teknikal itu sudah diperjelaskan namun menyifatkan insiden terbabit tidak sepatutnya berlaku.
"Kita tidak mahu insiden ini membuatkan pihak Indonesia berkecil hati.
"Saya belum mendapat maklumat dari pihak Indonesia namun kita mengambil langkah siasatan supaya perkara ini tidak berulang.
"Hubungan kita dengan negara jiran terdekat ini amat penting, lebih-lebih lagi mereka menyertai KL2017," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Johor, di Dewan Dato Onn Ibu Pejabat Kontinjen Johor, di sini, hari ini.
Semalam, bendera Indonesia dikesan disalah cetak terbalik pada buku cenderamata pembukaan KL2017.
Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada rakyat Indonesia atas kesilapan berkenaan.
Sumber : BERITA HARIAN

No comments