[VIDEO HIGHLIGHT] : Malaysia 3-1 Myanmar, Adib Hadiahkan Gol Saguhati Myanmar
[VIDEO HIGHLIGHT] : Malaysia 3-1 Myanmar, Adib Hadiahkan Gol Saguhati Myanmar
SHAH ALAM: Malaysia mengesahkan tempat ke separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas menewaskan Myanmar 3-1 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berkongsi sembilan mata dengan Myanmar yang berada di tangga teratas Kumpulan A.
Malaysia bermula sedikit perlahan dengan Myanmar terlebih dahulu menguji kubu pertahanan negara menerusi percubaan Aung Thu yang hanya sedikit tersasar di penjuru kanan pintu gol.
Bagaimanapun, selepas 25 minit perlawanan, Malaysia dilihat sudah mula menemui rentak dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya terutama sepakan percuma menarik Irfan Zakarian namun ditepis penjaga gol, Sann Sat Naing.
N Thanabalan menceriakan puluhan ribu penyokong Harimau Malaya apabila menampan masuk bola sepakan Matthew Davies pada minit ke-34.
Hanya seminit selepas itu, Stadium Shah Alam terus gamat dengan sorakan penyokong Harimau Malaya apabila Safawi Rasid meledak gol kedua Malaysia selepas menanduk masuk bola hantaran S Kumaahran.
Myanmar cuba bangkit memburu gol penyamaan sebaik bersambung babak kedua tetapi gagal menemui penyudah termasuk rembatan Si Thu Aung dari luar kotak penalti pada minit ke-55 yang melepasi palang gol.
Thanabalan hampir meledak gol kedua peribadi pada perlawanan itu, namun rembatan derasnya pada minit ke-59 berjaya diselamatkan Sat Naing.
Lapan minit sebelum tamat permainan, Thanabalan akhirnya menebus kekecewaan itu apabila menanduk masuk bola hantaran silang Muhammad Jafri Firdaus Chew untuk meletakkan Malaysia selesa mendahului 3-0.
Myanmar akhirnya berjaya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-86 menerusi pemain gantian, Than Paing namun sudah terlambat untuk mereka sekurang-kurangnya mendapatkan keputusan seri.
Sumber : BERITA HARIAN
Post a Comment