Header Ads

[VIDEO] : PAHANG FA 6-0 PKNP FC, Wan Zaharul Nizam Ledak 2 Gol


Video Kredit :- Nadi Arena



KUANTAN: Skuad Pahang kembali menghidupkan peluang ke saingan suku akhir Piala Malaysia apabila membelasah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, 6-0 di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
Lebih manis, ia adalah kemenangan pertama skuad Tok Gajah dalam saingan piala berprestij itu selepas sekadar mengutip tiga mata daripada empat perlawanan Kumpulan A.
Tiga gol, masing-masing pada setiap babak sudah cukup untuk membantu skuad itu memburu slot ke suku akhir kerana PKNP FC sudah pun mengesahkan tempat berbanding Pahang yang terpaksa bersaing dengan Negeri Sembilan dan T-Team.
Pesta jaringan tuan rumah malam tadi bermula dengan jaringan pemain tengah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang menewaskan penjaga gol pelawat, Ahmad Asyraaf Omar pada minit ke-27.
Lima minit kemudian, Joseph Kalang Tie yang juga pemain tengah menjaringkan gol kedua, disusuli gol ketiga pada minit ke-41 untuk memastikan tuan rumah selesa mendahului pelawat 3-0 pada separuh masa pertama.
Sebaik babak kedua bermula, skuad Pahang tidak menunggu lama untuk menambah gol keempat hasil sentuhan Wan Zaharulnizam pada minit ke-52.
Skuad kendalian Abu Bakar Fadzim berusaha untuk mengurangkan jurang gol tetapi pertahanan kental tuan rumah kerap menafikan percubaan mereka.
Pada minit ke-83 dan ke-86, pemain pertahanan, Mohd Afif Amiruddin dan Matheus Alves melengkapkan keputusan cemerlang Pahang dengan kemenangan besar 6-0 ke atas kelab dari Perak itu.
Selepas lima perlawanan, Pahang kini di tangga kedua Kumpulan A dengan enam mata tetapi kedudukan itu belum selamat kerana hanya dibezakan satu mata dengan T-Team dan Negeri Sembilan yang berkongsi lima mata.
Penentuan pasukan kedua yang layak ke suku akhir akan ditentukan pada perlawanan terakhir kumpulan pada September ini.
Sumber : BERITA HARIAN 

No comments