Bibi Ramjani Menafikan Wujud Konspirasi Pemain Cuba Jatuhkan Pasukan Kelantan Ke Liga Perdana
PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan menafikan wujud konspirasi di kalangan pemain dan seorang individu bergelar 'Datuk' yang didakwa cuba memusnahkan impian pasukan itu untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan.
Jelas Bibi, dakwaan konspirasi tersebut hanyalah salah faham sahaja.
"Saya rasa berlaku salah faham di sini. Sebenarnya exco ini (Datuk) telah pun meminta persetujuan saya untuk bertemu pemain bagi bertanyakan mengenai masalah mereka.
"Kebetulan pada tarikh pertemuan itu, saya tak dapat hadir kerana ada janji temu lain berkaitan bangunan Kafa. Tahu-tahu keluar cerita sebegini" katanya ketika dihubungi mStar Online.
Malah, pengasas Desa Murni Batik Kota Bharu itu tidak menafikan dakwaan tersebut sengaja dicetuskan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeruhkan hubungan antara pemain dan pihak pengurusan Kafa.
"Saya pun tak faham apa tujuan individu tersebut... mungkin dia cuba nak cetuskan suasana tegang antara exco dengan pemain dan juga jurulatih," katanya.
Bibi berkata, beliau sebenarnya sudah mengetahui mengenai pertemuan tersebut yang terpaksa diadakan tanpa kehadirannya.
"Perjumpaan itu sebenarnya dibawah pengetahuan saya. Malah saya yang minta mereka uruskan dulu perjumpaan tersebut," katanya.
Bibi berkata pada hari pertemuan itu beliau ada temujanji dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) untuk menyelesaikan isu bangunan Kafa yang berada di bawah agensi tersebut.
"Apabila tukar pengurusan baharu saya buat kunjungan ke Kada untuk meminta pejabat tersebut dapat digunakan oleh Kafa bagi meneruskan operasi seperti sebelumnya," katanya.
Ditanya adakah beliau terkejut dengan dakwaan itu, Bibi berkata, tidak, tetapi beliau tidak menjangka isu tersebut diputar-belitkan sebuah akhbar tempatan sehingga menjadi lebih teruk.
"Tak terkejut tapi macam mana boleh spin macam ni... tambah teruk sangat. Saya tak nafi wujud konspirasi dalam mana-mana sukan tapi mungkin bukan di kalangan mereka.
"Biasalah dunia bola sepak, tak kenal maka tak cinta. Kita kena hadapi dengan rasional apabila berdepan situasi sebegini," luahnya kecewa.
Malah, Bibi berkata beliau sudah bertemu dengan sendiri dengan pemain pada Rabu untuk mengesahkan mengenai intipati yang dibincangkan dalam pertemuan itu.
"Saya sudah bertemu dengan pemain sendiri semalam. Malah exco itu turut mengiyakan mengenai lokasi pertemuan mereka," katanya.
Sumber : MSTAR
Post a Comment