Header Ads

Gol Perak Seharusnya Dibenarkan : Subkhiddin

Patut gol itu dikira: Subkhiddin  SUBKHIDDIN berpendapat gol Perak yang disahkan ofsaid oleh pengadil dan pembantu pengadil kedua patut dikira gol.

JARINGAN penyamaan pasukan Perak yang dibatalkan pengadil susulan penyerang The Bos Gaurus, Zaquan Adha Abd Radzak dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid sebenarnya adalah jaringan yang sah dengan gol patut diberikan kepada pasukan itu.
Penjelasan itu diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh yang mengakui pengadil serta pembantu pengadil kedua pada perlawanan itu sudah tersilap tafsir mengenai jaringan terbabit meskipun mereka sudah berusaha untuk mendapatkan keputusan yang tepat menerusi perbincangan mengenai insiden terbabit.
Subkhiddin yang juga adalah bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu turut menyifatkan kesilapan yang dilakukan oleh pengadil dan pembantu pengadil kedua berhubung insiden itu sebagai satu keputusan yang sungguh berat untuk diterima memandangkan ia membabitkan perlawanan berskala besar.


“Pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) (S Kunanlan) mendapat tekanan daripada perasaannya sendiri untuk menghalang daripada bola terlepas ke pihak lawan iaitu pemain Perak (Zaquan) sedangkan Zaquan hanya bergerak tanpa menghalang sebarang perbuatan Kunanlan untuk memainkan bola.

“Pembantu pengadil tersalah tafsir apabila dia melihat Zaquan berada pada posisi ofsaid dan hampir dengan Kunanlan. 

"Begitulah realitinya pandangan yang bakal dilihat oleh pembantu pengadil dan berbeza dengan pandangan pengadil ataupun pembantu pengadil yang lain.

“Dalam situasi itu, gol dijaringkan disebabkan kelemahan Kunanlan sendiri. 

"Jadi, jaringan itu seharusnya dibenarkan dan permainan perlu diteruskan dengan sepak mula oleh pasukan Johor DT.

“Bagaimanapun, sukar untuk melihat situasi secara realiti di atas padang jika hendak dibandingkan dengan penilaian yang begitu mudah untuk ditafsir menerusi rakaman video sahaja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi, hantaran lintang yang dibuat Gilmar tiba di hadapan pintu gol skuad Harimau Selatan dan Kunanlan dilihat menampan masuk hantaran terbabit ke gawang sendiri untuk gol penyamaan pelawat.
Namun, jaringan itu dibatalkan pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajuddin selepas pembantu pengadil kedua, Nojey Naking menyatakan Zaquan yang berada dalam kedudukan ofsaid menyentuh hantaran itu untuk menyumbat gol buat Perak.
Jika jaringan terbabit diberikan kepada Perak, kedudukan bertukar menjadi 1-1 dan sudah pasti permainan menjadi bertambah rancak selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 secara agregat dan masing-masing memiliki kelebihan satu gol di tempat lawan.
Skuad kendalian Ulisses Morais itu tidak memandang ke belakang dan berjaya menyumbat dua lagi gol menerusi Gonzalo Cabrera yang meledak jaringan kedua peribadinya dan juga Gabriel Guerra sekaligus menyaksikan mereka melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia menerusi agregat 4-1 dan bakal membuat perhitungan dengan juara bertahan, Kedah.

Sumber : METRO

No comments