jaringan ke-28 Zlatan Ibrahimovic musim ini meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-30, sebelum Sebastian Larsson dilayangkan kad merah pada minit ke-43 kerana mengkasari Ander Herrera dalam keputusan kontroversi yang dibantah pemain-pemain Sunderland.

United memanfaatkan kekurangan lawan dengan menambah gol kedua menerusi Henrikh Mkhitaryan tidak sampai seminit selepas babak kedua bersambung dan jaringan Marcus Rashford di hujung permainan memadam sama sekali sisa kebangkitan yang cuba dilakukan tuan rumah.

Kekalahan menyebabkan Sunderland yang dibimbing David Moyes kekal di tangga tercorot dengan 10 mata dipisahkan dari zon selamat manakala United terus memberi tekanan kepada Liverpool, Manchester City dan Arsenal dalam perebutan empat tempat terbaik - slot automatik ke Liga Juara-Juara musim depan apabila mendaki ke tangga kelima.

“Keputusan yang baik. Selepas melihat Manchester City dan Liverpool menang semalam, kami berada dalam kedudukan ‘wajib menang’.

“Hari ini, kami bukan sahaja mengutip tiga mata penuh, malah menunjukkan persembahan yang mantap.

“Kami juga dapat merasai aura negatif dalam kalangan pemain Sunderland kerana mereka berada di zon penyingkiran. Ia detik menyedihkan buat mereka,” ujar Mourinho. – AGENSI