Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, ramai pihak khususnya Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sememangnya ingin melihat Kelantan turun ke Liga Perdana musim depan.
"Kelantan kalah memang diduga kerana banyak pihak hendak Kelantan kalah. Tidak ada pasukan di Malaysia yang mana mata dipotong, beli pemain tidak dibenarkan daftar sehingga menyebabkan prestasi pasukan merosot.
"Ada mata, mata dipotong, beli pemain tak diberi, Kelantan sekarang bermain dalam keadaan kaki dan tangan diikat, pasukan ini dah jadi pasukan yang 'cacat',"
"Pasukan ini pasukan cacat kerana FAM dan FMLLP hendak Kelantan yang OKU (orang kurang upaya) bermain dengan pasukan yang mendapat segala bantuan, jadi kita terima kekalahan ini.
"Saya rasa mereka hendak Kelantan bermain di Liga Perdana dan nampaknya Kelantan menuju ke Liga Perdana secara paksa," katanya kepada pemberita selepas Himpunan Usahawan Sabahat AIM Parlimen Ketereh di dewan Kolej Matrikulasi di sini hari ini.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh bagaimanapun memuji pemain TRW yang sudah melakukan terbaik walaupun kalah teruk
"Bagaimanapun, saya lihat permainan semalam (malam tadi), pemain Kelantan bermain dengan cantik," katanya.
Selepas melalui 18 perlawanan, Kelantan kini menduduki tangga ke lapan liga dengan memungut 17 mata berbeza hanya tiga mata dari pasukan yang berada di zon penyingkiran. - UTUSAN ONLINE