Header Ads

SULTAN JOHOR BERI HADIAH LUMAYAN KEPADA FAM


KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima durian runtuh apabila dikurniakan imbuhan RM4 juta daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan berkata, imbuhan itu adalah sebahagian daripada pemberian bonus kepada skuad bawah 22 tahun (B-22) negara layak ke pusingan akhir Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di China, pada Januari 2018.
"Kurniaan ini juga dapat membantu FAM dalam pembangunan sukan bola sepak tanah air secara keseluruhannya," katanya menerusi akaun Facebook rasmi badan induk itu, hari ini.
Skuad B-22 mencipta kejutan apabila mengetepikan Thailand untuk muncul juara Kumpulan H sekali gus mara ke saingan berprestij itu selaku 16 pasukan terbaik benua Asia.
Sebelum ini, Hamidin mengumumkan berita gembira buat skuad B-22 dan pegawai pasukan yang membantu pasukan itu mencipta kejayaan terbesar mara ke saingan berprestij itu buat kali pertama dalam sejarah bola sepak negara ini.
Katanya, semua pemain skuad B-22 dan pegawai pasukan yang mencipta kejayaan besar itu akan diberikan insentif sebanyak RM6,000 seorang berdasarkan peruntukan yang ditetapkan FAM membabitkan kelayakan ke kejohanan secara merit.
Bagaimanapun, berita gembira akan disampaikan oleh Presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas FAM membawa barisan pemain menghadap beliau dalam masa terdekat.
Sumber : BERITA HARIAN

No comments