Header Ads

Bukan Disingkirkan, Inilah Status Sebenar Zahasmi Ismail dan Sathit Bensoh Dalam TRW

Gambar : STADIUM ASTRO

KEMELUT bola sepak Kelantan memasuki episod baharu apabila pengendali The Red Warriors, Zahasmi Ismail membuat keputusan mengejut dengan bercuti selama seminggu daripada menjalankan tugas mengemudi pasukan itu, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.

Tindakan jurulatih berusia 50 tahun itu memohon cuti juga dipercayai berpunca rasa kecewa beliau berhubung kemelut yang melanda kem skuad pantai timur itu ketika ini.

Keputusan itu menyaksikan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melantik penolong jurulatih dari Thailand, Sathit Bensoh selaku pengendali interim, berkuat kuasa serta-merta.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan dilaporkan menerusi sebuah portal berita kelmarin, mengesahkan wujud konspirasi berhubung dakwaan terdapat segelintir pemain dan individu tertentu bergelar ‘datuk’ untuk melihat pasukan itu jatuh ke Liga Perdana musim depan. 

Bagaimanapun, beliau ketika ditemui semalam menafikan perkara tersebut dan menyifatkan khabar angin itu bertujuan untuk melaga-lagakan pemain dengan pengurusan Kafa.

“Saya tak nafikan konspirasi berlaku dalam bola sepak, bukan kata tak ada, mana-mana pasukan pun ada, (malah) pemain sendiri pun mungkin ada.

“Tapi saya tengok dakwaan ini tak masuk akal. Sebenarnya ‘datuk’ itu sudah bincang dengan saya untuk jumpa pemain, tanya apa masalah mereka sebab kita nak lawan Melaka nanti,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak dapat hadir pada pertemuan dengan pemain namun perkara tersebut sememangnya berada dalam pengetahuannya.

Katanya, ketika itu beliau terpaksa menghadiri temujanji dengan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Datuk Md Alwi Che Ahmad berhubung bangunan milik agensi kerajaan itu yang digunakan sebagai pejabat Kafa.

Sementara itu Bibi Ramjani menegaskan Zahasmi tidak direhatkan atau pun disingkirkan, sebaliknya hanya memohon cuti atas alasan peribadi.

Menurutnya, kedudukan Zahasmi masih kekal selaku ketua jurulatih dan buat sementara waktu, tugasnya dipangku Sathit sehingga tempoh cutinya berakhir.

Sumber : SINAR HARIAN

No comments