Header Ads

Kontraktor Ditahan Kerana Tipu Pemain Kelantan


Gambar : SINAR HARIAN

KOTA BHARU - Kelicikan seorang kontraktor menipu wang RM43,100 daripada tiga individu termasuk dua pemain bola sepak Kelantan untuk tempahan nombor pendaftaran kenderaan memakan diri selepas dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan tiga sebatan oleh dua Mahkamah Majistret berasingan di sini semalam.

Tertuduh, Wan Hazrul Anuar Wan Hussein, 34, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad.

Dia yang merupakan seorang kontraktor turut mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Nik Habri, Wan Hazrul Anuar didakwa telah memperdaya pemain bola sepak Kelantan, Mohd Nor Farhan Muhammad, 33, dengan mendorong mangsa membuat transaksi pemindahan wang sebanyak RM10,000 ke dalam akaun Maybank 163028624936 atas nama Shahriza Solahuddin, 38.

Wang tersebut kemudian dipindahkan ke akaun CIMB bank tertuduh, bernombor 7616981604 untuk tujuan tempahan nombor pendaftaran kenderaan WWW10.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah sewa beralamat di Kelantan Trade Centre, Jalan Bayam jam 8.17 malam pada 21 Mac lalu.

Di mahkamah sama, dia turut didakwa menipu seorang lagi peniaga aksesori kereta, Low Eng Seng, 49, sebanyak RM29,600 untuk tempahan nombor pendaftaran kenderaan DDD22; DDD68; DDD77; DDD999; DDD33; DDD99; DDD8; DDD88; DDD888; DDD8888; DDD222; DDD333; DDD666; dan DDD777.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Kedai Kopi Tunjong di sini pada jam 12.30 tengah hari pada 28 Ogos lalu.

Nik Habri menjatuhkan hukuman 18 bulan dengan satu sebatan bagi setiap pertuduhan selain memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 8 Oktober 2017.

Dalam pertuduhan yang dibacakan di hadapan Mohd. Azrul Hasyimi, tertuduh mengaku menipu wang Zairul Fitree Ishak, 32, sebanyak RM3,500 untuk tempahan nombor pendaftaran kenderaan VV24 yang dilakukan di kedai makan Jati Corner di sini kira-kira jam 8.51 pagi pada 22 Mac lalu.

Mohd. Azrul Hasyimi menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dengan satu sebatan. Beliau turut memerintahkan hukuman itu berjalan bermula tarikh tangkapan.

Sumber : SINAR HARIAN

No comments