Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, FAM masih memerlukan beberapa minggu lagi sebelum keputusan muktamad diambil manakala individu yang dilantik perlu mempunyai perancangan yang baik untuk membim­bing pasukan negara selain bersetuju dengan syarat-syarat FAM.

Tunku Ismail turut mengesahkan bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez tidak lagi berada dalam senarai kerana gagal memeterai persetujuan dengan FAM.

“Ya, kita ada beberapa calon yang sudah tentu jurulatih import, justeru kita tidak mahu terburu-buru kerana bajet yang ada terlalu kecil. Saya perlu berjumpa dengan calon-calon ini dan dedahkan kepada mereka berapa bajet sebenar FAM serta berapa lama mereka boleh tandatangan kontrak.

“Selepas itu barulah kita tengok yang mana berminat. Sudah tentu hanya yang terbaik akan dilantik untuk melaksanakan projek yang ada ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di sini hari ini.

Selain mengadakan mesyuarat, Tunku Ismail dan barisan Exco FAM turut meluangkan masa hampir satu jam berdialog dengan peminat bola sepak di negeri ini serta meluangkan masa meninjau kemudahan di Stadium Likas yang menjadi ge­langgang pasukan Sabah.

Mengulas berhubung status jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yang dipilih sebagai pembantu skuad Harimau Malaya, Tunku Ismail berkata, situasi sekarang terletak kepada perbincangan antara Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Cheng Hoe untuk menentukan bila dia akan melapor diri.

Ujarnya, dalam mesyuarat hari ini, KFA telah meminta agar diberikan lebih masa untuk menyelesaikan beberapa perkara yang timbul.

Mengulas mengenai jurulatih skuad Bawah 23 tahun Australia, Joseph Gombau, yang turut dikaitkan dengan jawatan jurulatih Harimau Malaya, menurut Tunku Ismail, dia adalah calon yang terbaik namun pelantikannya sukar dibuat sekarang memandang komitmennya kepada pasukan Socceroos.

Sementara itu, ditanya mengenai langkah FAM mengadakan mesyuarat pertamanya di Sabah, Tunku Mahkota Johor itu berkata, sebagai badan induk bola sepak negara, keputusan perlu diambil untuk memastikan hubungan baik terjalin antara FAM dan persatuan bola sepak negeri.

“Tiada sebab khusus tetapi saya rasa kalau kami badan induk, kami harus berkunjung ke setiap negeri bukan sahaja untuk lawat pasukan dan kelab bola sepak tetapi untuk memberi pandangan, meningkatkan kualiti projek bola sepak mereka selain kami juga dapat berjumpa peminat dan mengadakan dialog,” jelasnya.