Maklumat terbaharu itu didedahkan oleh sumber dalaman KAFA yang turut mengakui terkejut sebaik sahaja dimaklumkan mengenai perkara itu.

Sumber itu menjelaskan, perkara tersebut diputuskan oleh barisan exco dan sudah dipanjangkan ke pengetahuan Bibi Ramjani.
“Apa yang boleh saya katakan, kenyataan tersebut lebih kepada cubaan untuk mengalih tumpuan kepada kontroversi yang sedang melanda Kelantan ketika ini.
“Saya tidak faham kenapa perkara ini boleh berlaku ketika Kelantan sedang berdepan tekanan untuk menang dengan Melaka bagi mengelakkan pasukan itu jatuh ke Liga Perdana,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut sumber itu lagi, dia tidak menolak kemungkinan tindakan merehatkan Zahasmi ini mempunyai hubung kait dengan spekulasi cubaan sabotaj pasukan untuk jatuh ke Liga Perdana 2018.

Katanya, jika perkara itu tidak mempunyai hubung kait, masakan Zahasmi direhatkan secara mengejut di saat Kelantan sedang berdepan misi hidup mati.
“Saya difahamkan keputusan itu dibuat selepas hasil pertemuan beberapa pemain dengan kepe­mimpinan badan induk bola sepak berkenaan sebelum ini.
“Berpandukan kepada isu ini, saya lihat ada segelintir pemain yang sanggup berpakat dengan pengurusan untuk menyingkirkan Zahasmi.
“Ia dikatakan berpunca daripada tindakan pengendali berusia 50 tahun itu mengemukakan cadangan pemain yang perlu dikekalkan untuk musim hadapan,” ujarnya.