Header Ads

Selepas Hampir 4 Bulan, Akhirnya FAM Bayar Gaji 5 Bekas Jurulatih


ANTARA jurulatih skuad kebangsaan yang menerima tuntutan baki gaji mereka dari FAM, dari kiri; bekas penolong jurulatih skuad senior, Hassan Sazali Mohd Waras; bekas jurulatih kecergasan skuad senior, Reuben Jude; bekas penolong jurulatih B-22, Aminuddin Hussin dan bekas jurulatih kecergasan B-22, Mashidee Sulaiman.
SHAH ALAM: Selepas hampir empat bulan dipecat, akhirnya lima bekas bekas jurulatih skuad kebangsaan menerima khabar gembira apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya menyelesaikan tuntutan baki gaji mereka.
Lima jurulatih tempatan yang menuntut hak mereka itu ialah bekas penolong jurulatih skuad senior, Hassan Sazali Mohd Waras; bekas jurulatih kecergasan skuad senior, Reuben Jude; bekas penolong jurulatih B-22, Aminuddin Hussin; bekas jurulatih penjaga gol B-22, Megat Amir Faizal Ibrahim serta bekas jurulatih kecergasan B-22, Mashidee Sulaiman.
Kesemua mereka dipecat sejurus berakhirnya Kongres Pemilihan FAM kali ke-53 yang diumumkan sendiri oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden baharu yang menyaksikan barisan kejurulatihan skuad bawah B-22 dan pasukan senior dirombak serta merta pada Mac lalu.
Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya sudah mencapai kata sepakat bersama lima jurulatih berkenaan.
"Saya sudah jumpa mereka dan kami bincang secara harmoni bagi menyelesaikan kemelut ini. FAM sememangnya prihatin dengan masalah yang menimpa lima jurulatih itu.
"Penyelesaian dan keputusan yang dibuat hari ini turut mendapat perkenan Presiden FAM dan isu ini tidak perlu dipanjangkan lagi," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad futsal wanita negara di Kompleks Sukan Panasonic, di sini, hari ini.
Menerusi pendedahan Arena Metro sebelum ini, beberapa bekas jurulatih FAM mempersoalkan layanan berat sebelah organisasi itu terhadap mereka berbanding bekas ketua jurulatih B-22 dari Jerman, Frank Bernhardt yang berjaya meraih pampasan penuh dari badan induk itu.
Kesemua mereka dipecat pada penghujung Mac lalu dengan hanya menerima tiga bulan pampasan berbanding baki kontrak antara tujuh ke sembilan bulan.
Pemecatan itu menyaksikan tempat pengendali skuad B-22, Bernhardt digantikan dengan Datuk Ong Kim Swee yang diturunkan pangkat apabila kerusi panas selaku ketua jurulatih Harimau Malaya diisi pengendali dari Portugal, Nelo Vingada.
Aminuddin yang dihubungi semalam berkata, hasil perbincangan yang diadakan di pejabat Hamidin menyaksikan suatu keputusan menang-menang berjaya diraih.
"Terima kasih kepada Tunku Ismail yang mendengar rintihan kami selama ini. Sekurang-kurangnya baki gaji ini dapat menampung perbelanjaan keluarga hingga musim ini kerana agak sukar untuk mencari pasukan baru ketika ini," katanya.
SUMBER : BERITA HARIAN 

No comments